Wednesday 29 April 2015

Isteri Perdana Menteri Malaysia



Tiga isteri mantan Perdana Menteri iaitu Tun Rahah Noah, Allahyarham Tun Suhailah Noah dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebenarnya telah melakar suatu sejarah pada negara sehingga jasa mereka diingati sampai kini.
Bermula dari seorang wanita tabah yang mempunyai kesetiaan dan kekuatan teguh termasuk membabitkan diri dengan Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) serta Pegawai Kesihatan Wanita Pertama di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak, masing-masing berkongsi perjalanan hidup berbeza tetapi menariknya mempunyai keperibadiaan sama sehingga menjadikan mereka wanita ulung sepanjang zaman.

Wanita mana yang tidak bangga jika suami serta anak tercinta menjadi pilihan suara majoriti rakyat dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi dalam sebuah pentadbiran.

Nama beliau jarang didengari, bahkan mungkin tidak dikenali generasi masa kini. Itulah Tun Rahah, balu kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abd Razak yang juga bonda kepada Datuk Seri Najib.
Dua zaman yang cukup mempesonakan buat Tun Rahah apabila melihat dua lelaki kesayangannya beada di puncak tertinggi.

Menariknya, Tun Rahah merupakan individu yang memegang gelaran isteri ‘sempurna’ Perdana Menteri kerana kesetiaan, sokongan serta rangsangan ‘luar biasa’ yang diperlihatkan beliau sewaktu Tun Abd Razak berhadapan dengan beberapa situasi tegang negara seperti darurat Tanah Melayu dan rusuhan kaum, 13 Mei 1969.

Hasil perkahwinan Tun Rahah dan Tun Abd Razak berjaya dikurniakan lima putera yang masing-masing mempunyai profesion yang amat membanggakan.





Walaupun ayahanda Tun Rahah, Allahyarham Tan Sri Noah Mohammad Omar banyak memberi tunjuk ajar dalam selok belok berpolitik, Tun Rahah memilih untuk bergerak secara sederhana dalam perjuangan, kerana mahu memberi fokus utama iaitu kecintaannya yang harus sempurna terhadap suami dan anak-anak. Didikan agama yang cukup diberikan ibu bapa sejak kecil berjaya membentuk keperibadian mulia dalam diri Tun Rahah.

Beliau menjadi penaung pertama Persatuan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) pada tahun 1969 hingga 1976 dan beberapa persatuan lain termasuk jawatan tertinggi dalam Pergerakan Kaum Ibu UMNO ketika itu.

Nama Tun Rahah gah dalam kalangan pemimpin wanita tertinggi dunia kerana sifatnya lembut, mudah mesra dan keibuan membuatkan ramai yang selesa. Kekentalan semangat dan kesetiaan Tun Rahah telah membuktikan beliau sememangnya rakan seperjuangan terbaik buat Tun Abd Razak dalam membantu menaikkan semangat kepimpinan Bapa Perpaduan Malaysia itu.

Bahkan, corak kehidupan yang amat besederhana, tidak boros dan rendah diri wanita itu membuatkan rakyat terus menyanjunginya. Hakikatnya, keperibadiaan dimiliki Tun Rahah bukan mudah dimiliki kebanyakkan pemimpin wanita lain terutama pada masa kini. Disebalik kejayaan Tun Abd Razak sebagai salah seorang pemimpin gemilang, wujud seorang wanita terbilang di belakangnya.

Wanita Ulung Sepanjang Zaman

Detik 4 Oktober 2014, negara dikejutkan berita kematian Tun Suhailah yang merupakan balu kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Ketiga, Tun Hussein Onn. Berita ini mengejutkan ramai pihak sekaligus menyifatkan ianya satu kehilangan besar kerana gugur sebutir permata yang banyak berjasa pada negara.

Dibesarkan dari keluarga yang dianggap bukan ‘calang-calang’ latar belakang. Tun Suhailah yang juga kakak kepada Tun Rahah dididik bapanya yang merupakan bekas ahli politik berpengaruh pada era awal kemerdekaan Tanah Melayu dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Peranan Tun Suhailah tidak kurang hebatnya. Selama lima tahun suaminya menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negara, Tun Suhailah benar-benar memperlihatkan sokongan padu dan mengambil peluang terhadap membela nasib golongan wanita yang tidak berkemampuan dan tertindas.

Peluang dan ruang diberikan itu tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Bahkan, ia dijadikan platform utama supaya golongan wanita terus diberi perhatian umum. Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ditubuhkan pada 16 Mei 1977 atas usaha dilakukan Tun Suhailah dan ianya masih bergerak aktif sehingga kini. 

Kemuliaan hati beliau dilihat jelas sebaik sahaja pulang dari lawatan ke Iraq, Tun Suhailah menubuhkan satu Perpustakaan Kanak-kanak dan mengaplikasikan peranan sebagai Penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) sebagai pelindung kepada nasib wanita serta kanak-kanak.

Hidup sederhana, mementingkan kebajikan golongan yang lebih memerlukan dan baik hati menjadikan Tun Suhailah dihormati masyarakat. Biarpun tugas suaminya tamat pada tahun 1981, ia tidak pernah mematahkan semangat serta usaha murni Tun Suhailah terus berdiri bersama rakyat. Tun Hussein Onn berjaya membentuk keperibadiaan mulia dalam diri Tun Suhailah dengan masih mengekalkan had campur tangan dalam beberapa isu negara biarpun mempunyai akses sebagai isteri Perdana Menteri.

Pada 29 Mei 1990, ia menjadi sejarah pada masyarakat dan juga wanita cekal itu apabila kehilangan suami tercinta selamanya memberi kesan mendalam buat Tun Suhailah.




Ibarat kehilangan rakan seperjuangan telah membuatkan Tun Suhailah perlahan-lahan berundur dari arena politik dan berpesatuan. Beliau memilih untuk menghabiskan masa bersama anak-anak dan keluarga.

Namun, jasa beliau tidak dilupakan kerana telah diiktiraf pelbagai pihak dan akhirnya menerima Anugerah Skrikandi Negara oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Penat lelah isteri tercinta Tun Hussein Onn itu benar-benar dihargai, bahkan disanjungi sehingga kini.

Itulah dikatakan pengorbanan seorang Skrikandi Negara. Biarpun berada di puncak tertinggi tetapi masih meletakkan diri dibawah dan menghambakan diri untuk kerja-kerja kebajikan. Sesungguhnya, Tun Suhailah akan terus diingati sebagai wanita ulung sepanjang zaman.

Bagi masyarakat negara ini, nama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali cukup dekat di hati. Isteri kepada mantan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), keperibadian serta jasanya tidak perlu dipersoalkan. Sifat lemah lembut dan rendah diri cukup memberi gambaran betapa hebatnya pendamping Tun M ini. 

Tun Siti Hasmah memilih untuk tidak bergiat aktif dalam arena politik dalam memberi tumpuan lebih terhadap ilmu perubatan negara sehingga menerima gelaran Tokoh Perubatan & Kebajikan. Menyingkap kenangan pada tahun 1955, Tun Siti Hasmah antara empat pelajar Melayu yang berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Malaya, Singapura bersama Tun M sekaligus menjadikan beliau sebagai wanita kedua menerima Ijazah Perubatan di Malaya ketika itu. 

Sumbangannya dalam bidang perubatan terlalu banyak kerana satu persatu tanggungjawab dalam sektor perubatan kerajaan digalasnya sehingga Tun Siti Hasmah membuat keputusan bersara selepas tamat kontrak dengan kerajaan pada tahun 1974.

Bukan mudah bersuamikan seorang ahli politik, apatah lagi menjadi Perdana Menteri yang dianggap berpengaruh sewaktu era pemerintahannya itu. Menariknya, Tun M sering menjadi tumpuan khalayak biarpun dilihat sedang keluar menghabiskan bersama isteri.

Namun, Tun Siti Hasmah sudah biasa dengan perkara itu biarpun terpaksa 'berkongsi' lelaki kesayangannya itu bersama masyarakat. Itu menjadi salah satu kunci kejayaan bagaimana Tun M mampu bertahan selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri. Tun Siti Hasmah memainkan peranan seorang isteri yang memahami, bertoleransi dan dipercayai. 

Tun Siti Hasmah meletakkan hadnya sebagai seorang isteri mengenai urusan-urusan pentadbiran suaminya itu. Tidak bertanya jika tidak diberitahu, dan tidak mencampuri urusan dan pandangan terhadap keputusan negara yang bakal suaminya buat jika tidak diminta. Beliau sentiasa mendidik dirinya untuk menghormati 'privacy' suami kerana Tun Siti Hasmah tahu bahawa Tun M berkhidmat untuk negara dan bangsa.

Dikala suami sibuk menguruskan negara, Tun Siti Hasmah akan menghabiskan masa melakukan kerja amal dengan meneruskan legasi di dalam BAKTI terhadap nasib wanita, kanak-kanak serta golongan memerlukan. Kebijaksanaan serta ilmu dalam perubatan terus di berikan selagi mampu berdiri.

Biarpun usianya kian menginjak tetapi layanan dan kasih sayang yang diberikan Tun Siti Hasmah tetap utuh terhadap suami. Gabungan dua cendekiawan negara ini telah berjaya membentuk legasi yang dihormati dan disanjungi sehingga kini. Biarpun sedekad dan seabad berlalu, tiga orang Skrikandi Negara ini akan terus disanjung tanpa noktah dan garis penamat.





 Sumber - Malaysian Digest






























No comments:

Post a Comment